Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
Gambar oleh Rakawi Haji Salleh & Haji Rosli Haji Ismail
MENGIMBAS kembali zaman silam rumah-rumah lama di Kampong Ayer sekitar tahun 1940an sehingga 1960an adalah sungguh unik. Ia kelihatan sederhana dan berada dekat di antara sebuah rumah dengan rumah yang lain. Pelbagai jenis rumah yang terdapat pada masa itu antaranya ialah ‘Rumah Belah Bubung’, ‘Rumah Berhidong’ dan ‘Rumah Tungkup’. Kebanyakan atap rumah diperbuat daripada daun nipah, berdindingkan kayu atau daun kajang, mengikut kemampuan masing-masing kerana mata pencarian masyarakat pada zaman itu adalah memukat, memungut kayu-kayu bakau untuk dijual dan menjual ikan.
Rumah-rumah di Kampong Ayer pada awal sejarah mendirikan rumah, para penduduknya akan terlebih dahulu mendengar dan menuruti nasihat orang-orang tua sebelum membinanya. Ia perlulah dibina dengan beberapa faktor berikut seperti berada dekat dengan rumah adik-beradik, tidak lari dari hubungan rapat bersaudara, bergotong-royong apabila mengadakan majlis dan suka duka kehidupan haruslah diharungi bersama. Ini adalah antara sebab kenapa rumah-rumah di Kampong Ayer pada zaman itu berada berdekatan diantara satu keluarga dengan satu keluarga yang lain.
Dalam tahun 1960an, rumah-rumah di Kampong Ayer mula sedikit berubah dengan berkonsepkan struktur rumah moden. Sekolah-sekolah rendah dan balai-balai persatuan mula dibina bagi perkumpulan anak-anak muda untuk merancang masa depan sesebuah kampung, misalnya Sekolah Melayu Sultan Lama yang telah didirikan pada tahun 1964. Ia dibina daripada kayu. Tenaga gurunya pula tidak ramai. Guru besarnya pada ketika itu ialah Allahyarham Abdul Rahman bin Othman.
Paparan gambar yang disediakan oleh penulis ini adalah sebagai kenangan dan ingatan agar dapat menjadi ristaan bagi generasi sekarang. Suasana kehidupan pada zaman dahulu dan sekarang sememangnya sangat jauh berbeza.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/C-10p3-rubie_041117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/A-10p3-rubie_041117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/B-10p3-rubie_041117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/D-11p2-rubie_041117.jpg)