Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Pusat Dialisis, Kiarong akan ditutup sementara bagi kerja-kerja penggantian sistem rawatan air reverse osmosis (RO) kepada sistem yang baharu dan pengubahsuaian dan penaiktarafan infrastruktur.
Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini menjelaskan, tarikh penutupan sementara itu akan bermula pada 19 Februari dan dijangka mula beroperasi pada 6 Mei.
Semasa tempoh penutupan sementara Pusat Dialisis, Kiarong itu, perkhidmatan rawatan dialisis akan dipindahkan ke Pusat Pengasingan Kebangsaan Lanjutan (NICE) di Daerah Tutong.
Sehubungan itu, pihak kementerian memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul.
Penutupan sementara di Pusat Dialisis, Kiarong adalah penting untuk memastikan proses penggantian dan pengubahsuaian berjalan dengan lancar, serta memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
Antara tujuan pemindahan sementara ke NICE adalah untuk keselesaan pesakit yang mendapat rawatan di Pusat Dialisis, Kiarong agar mereka dapat terus menerima rawatan tanpa sebarang gangguan.
Bagi sebarang pertanyaan, orang ramai bolehlah berhubung terus melalui talian 7440355 (jururawat yang bertugas) semasa waktu bekerja sehingga kerja-kerja pembaikan selesai dan untuk maklumat lanjut, hubungi Talian Darussalam 123 atau melayari laman sesawang www.moh.gov.bn.


