Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JAN – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan orang ramai terutamanya para pengguna jalan raya mengenai penutupan sementara separuh jalan di bawah Jambatan Flyover Airport Berakas dan di beberapa lokasi di Jalan Utama Berakas.
JKR menyatakan bahawa penutupan sementara separuh jalan di bawah Jambatan Flyover Airport Berakas dilaksanakan pada 5 hingga 8 Januari bermula pukul 7:30 pagi hingga 5 petang.
Penutupan berkenaan adalah untuk memberikan ruang kepada pihak Jabatan Kemajuan Pelancongan bagi kerja-kerja pemasangan grafik baharu untuk papan tanda yang sedia ada.
Sementara, penutupan sementara separuh jalan di beberapa lokasi di Jalan Utama Berakas pada 6 hingga 8 Januari bermula pukul 8:30 pagi hingga 4 petang.
Penutupan berkenaan adalah bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan jalan raya berdekatan persimpangan lampu isyarat Jalan 10 Utara dan persimpangan lampu isyarat Jalan Madang.
Dalam hubungan itu, JKR menasihatkan para pengguna jalan raya untuk memperlahankan kenderaan, mematuhi papan tanda arahan jalan raya serta had kelajuan yang telah ditetapkan ketika melalui kawasan berkenaan.