Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nottingham Forest lantik pengurus baharu

    LONDON, 21 OKT – Nottingham Forest telah melantik Sean Dyche sebagai ketua jurulatih baharu kelab itu dengan kontrak sehingga tahun 2027, menurut pengumuman rasmi kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan hari ini.

    Bekas pengendali Burnley dan Everton berusia 54 tahun itu menggantikan Ange Postecoglou, yang dipecat pada Sabtu lalu selepas hanya 40 hari memegang jawatan di Stadium City Ground.

    Dyche, yang pernah menjadi pemain pelatih Forest di bawah pengurus lagenda Brian Clough, menjadi pengurus ketiga kelab itu bagi musim ini dan merupakan tugas pertamanya sejak meninggalkan Everton pada awal tahun ini.

    “Seorang pengurus Liga Perdana yang dihormati dan berpengalaman, Dyche membawa gabungan sempurna antara keperibadian, kebijaksanaan taktikal serta rekod pencapaian yang terbukti untuk memimpin kelab ke fasa seterusnya,” menurut kenyataan rasmi Nottingham Forest.

    Perlawanan pertama Dyche sebagai pengurus akan berlangsung pada Khamis, apabila Forest menentang Porto di laman sendiri bagi aksi Liga Europa.

    Postecoglou dipecat hanya beberapa minit selepas kekalahan 3-0 kepada Chelsea pada Sabtu lalu, menjadikannya pengurus tetap dengan tempoh perkhidmatan paling singkat dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

    Manakala, pemilik kelab, Evangelos Marinakis, menamatkan khidmat bekas pengurus Tottenham Hotspur itu selepas gagal mencatat sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan pertama musim ini.

    Postecoglou sebelum ini dilantik bagi menggantikan Nuno Espirito Santo, yang turut dipecat pada September selepas hubungannya dengan Marinakis dilaporkan semakin rengang.

    Ketika ini, Nottingham Forest berada dalam zon penyingkiran Liga Perdana dengan hanya lima mata daripada lapan perlawanan, walaupun skuad mereka telah diperkukuh dengan pelaburan melebihi AS$134 juta pada jendela perpindahan baru-baru ini. – AFP

    Gambar fail Sean Dyche semasa menjadi pengurus dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium St James’ Park, England pada 2 April 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda