Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    NSFC optimis beri tentangan sengit

    SEREMBAN, 18 OKT – Negeri Sembilan FC (NSFC) berada dalam momentum prestasi terbaik untuk melakar kejayaan pada saingan Piala Malaysia musim ini, kata pengendali pasukan itu K.Devan.

    Beliau berkata ia susulan prestasi konsisten skuad sepanjang saingan Liga Super musim ini dengan menduduki tempat keempat terbaik liga.

    “Setelah tamat Liga Super, pasukan (NSFC) menduduki tempat keempat, ini sudah tentu menaikkan semangat pasukan untuk tampil lebih kompetitif pada saingan Piala Malaysia kali ini, saya yakin prestasi pasukan bertambah baik.

    “Piala Malaysia ada sejarah tersendiri, ia juga pertandingan akhir pada musim ini, semangat pasukan lebih berbeza. Pasukan perlu melalui proses permainan dan pemulihan yang baik supaya prestasi berada pada tahap terbaik,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara NSFC dan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) di Kampus UiTM Seremban hari ini.

    Turut hadir Tunku Besar Tampin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

    Terdahulu, Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan Prof Dr Yamin Yassin berkata kerjasama fakulti tersebut dan NSFC melibatkan perkongsian maklumat, kepakaran dalam sukan bola sepak bagi tujuan memudahkan penyelidikan melalui aktiviti rundingan kerjasama dan konsultasi.

    Sementara itu, ketua pasukan Mohamad Zaquan Adha Abd Razak berkata saingan Piala Malaysia lebih mencabar dan semua pasukan akan menampilkan prestasi lebih sengit pada setiap perlawanan. – Bernama

    Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri (tengah) bergambar bersama (dari kiri) Naib Presiden PBNS N.Saaran, Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Prof Dr Yamin Yasin, Datuk Bandar Bandaraya Seremban Datuk Masri Razali dan Ahli Lembaga Pengarah PBNS Bachik Osman selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara UITMCNG dan PBNS hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda