SYDNEY, 18 SEPT – Pihak berkuasa kesihatan Australia mengeluarkan amaran campak di Lapangan Terbang Sydney selepas seorang pengembara disahkan positif penyakit itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Jabatan Kesihatan New South Wales (NSW) memaklumkan pengembara terbabit baru pulang dari Australia Barat (WA), lokasi berlakunya wabak campak dan sempat melawat beberapa kawasan di utara negeri itu.
Susulan itu, penumpang dan kru penerbangan Virgin Australia VA572 dari Perth ke Sydney pada 12 September serta penerbangan VA505 dari Sydney ke Gold Coast pada hari yang sama dinasihatkan memantau sebarang simptom.
Orang ramai yang berada di Terminal 2 Lapangan Terbang Sydney antara 6:30 hingga 7 pagi pada 12 September, atau di kawasan pengambilan bagasi dan ketibaan utama Lapangan Terbang Gold Coast antara 8:30 hingga 9:20 pagi, turut diminta berwaspada.
Pesakit turut mengunjungi jabatan kecemasan Hospital Tweed Valley, kira-kira 660 kilometer di timur laut Sydney berhampiran sempadan NSW-Queensland, pada 15 September. – Bernama


