Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Nuara Group, syarikat pembangunan perisian penasihat strategik dan konsultan IT, telah mengumumkan mengenai penyelesaian-penyelesaian perancangan sumber perusahaan (ERP) di Microsoft Azure Marketplace.
Ini termasuk NuaraSAFE yang merupakan penyelesaian pengurusan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE), Nuara ePRO iaitu penyelesaian pengurusan rantaian bekalan dan NuaraHR iaitu penyelesaian pengurusan sumber manusia.
Penyelesaian-penyelesaian berkenaan diumumkan semasa sidang media bersama Microsoft dan Nuara Group yang berlangsung di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), di ibu negara, hari ini.
Dengan yang demikian, pelanggan Nuara Group kini dapat mengambil kesempatan terhadap platform cloud yang produktif dan dipercayai, dengan penggunaan dan pengurusan yang diperkemas.
Menurut kenyataan yang diberikan, NuaraSAFE membolehkan pelaporan dan pengurusan yang mudah dan cekap bagi kejadian (near-misses), insiden, audit dan siasatan.

Nuara ePRO pula menyokong dan mengautomasikan proses perolehan dan rantaian bekalan sesebuah organisasi. Ia mempunyai fungsi seperti meningkatkan permintaan perolehan, kelulusan dalam talian, vendor dan pemilihan sebut harga, hingga penerbitan dan pengesanan PO. Perbelanjaan korporat dapat dipantau dalam masa nyata.
Manakala itu, NuaraHR pula adalah bagi menyelaraskan aktiviti pengurusan sumber-sumber manusia melalui satu platform bersepadu, yang terdiri daripada data pekerja, aplikasi cuti dan pengurusan cuti, penilaian prestasi, latihan dan alat pengurusan gaji.
Penyelesaian perisian ERP yang unik dapat disesuaikan sepenuhnya mengikut kehendak pelanggan, serta direka dan dibina untuk menjadi sangat cekap, boleh dipercayai dan responsif.
Nuara Group yang mempunyai pejabat di Brunei dan Singapura, menyediakan penyelesaian perisian ERP yang inovatif, boleh dipercayai dan dapat disesuaikan sepenuhnya yang membantu klien mengautomasikan, mengoptimumkan, dan menyelaraskan proses perniagaan.
Manakala itu, Azure Marketplace adalah pasar dalam talian bagi pembelian dan penjualan penyelesaian cloud yang diiktiraf Azure. Ia membantu menghubungkan syarikat-syarikat yang mencari penyelesaian inovatif berasaskan cloud dengan rakan-rakan yang telah membangunkan aplikasi-aplikasi sedia digunakan.
Mengulas mengenai penyelesaian-penyelesaian ERP yang baru diumumkan itu, Pengarah Urusan Nuara Group, Barbora Grexa berkata, ia adalah penyelesaian buatan Brunei yang pertama disenaraikan.
“Ini adalah tonggak besar bagi Nuara Group dan kami akan terus berusaha untuk membawa penyelesaian yang berkualiti ke pasaran,” tambah beliau.
Terdahulu, Pengurus Negara Microsoft Brunei, Awang Afif bin Mohamed Ali dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa lebih dari sebelumnya, organisasi-organisasi bergantung pada Azure untuk terus beroperasi dan mendukung beban kerja yang kritikal.
“Kami adalah satu-satunya cloud yang menjangkau semuanya, daripada Azure Edge Zones untuk 5G hingga Azure Sphere untuk IoT yang selamat. Dan kami menghapuskan halangan bagi sesiapa sahaja yang ingin bermigrasi ke cloud dengan menangani kebebasan data dan keperluan perundangan mereka,” jelas beliau.
Menurut beliau lagi, melalui Microsoft Azure Marketplace, pelanggan di seluruh dunia dapat mencari, membeli, dan menggunakan penyelesaian rakan kongsi yang dapat mereka percayai dengan mudah, semuanya diperakui dan dioptimumkan untuk beroperasi pada Azure.