Friday, April 25, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Nujum’ TikTok ditahan ramal gempa

    YANGON, 24 APRIL – Seorang peramal lelaki di Myanmar yang popular di TikTok telah ditahan oleh pihak berkuasa kerana didakwa menyebarkan ketakutan dengan meramalkan gempa bumi kuat akan berlaku sekali lagi, menurut laporan media kerajaan hari ini.

    John Moe The, 21 tahun, yang mempunyai lebih 300,000 pengikut di TikTok, telah meramalkan pada 9 April lalu bahawa satu gempa bumi ‘sangat kuat’ akan melanda ‘setiap bandar di Myanmar’ dalam 12 hari.

    “Jangan berada di bangunan tinggi pada waktu siang,” menurut kapsyen dalam videonya yang telah ditonton sebanyak 3.3 juta kali.

    “Ambil barang penting dan keluar dari bangunan semasa gegaran.”

    Ramalan itu muncul selepas gempa bumi bulan lalu yang telah mengorbankan lebih 3,700 nyawa di kawasan tengah Myanmar dan menyebabkan sekitar 60,000 orang kini berlindung di kem-kem sementara, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Ramai masih takut pulang ke rumah akibat gegaran susulan yang berterusan.

    Gambar AFP

    Menurut kenyataan kerajaan tentera Myanmar, John Moe The telah ditahan dalam satu serbuan di rumahnya di bandar Monywa pada pagi Selasa.

    “Kami menerima maklumat mengenai penyebaran berita palsu melalui akaun TikTok yang meramalkan gempa bumi besar akan melanda,” kata kenyataan itu.

    “Tindakan akan diambil mengikut undang-undang terhadapnya dan mana-mana individu yang menulis, menyebar atau berkongsi berita palsu.”

    Akaun TikTok John Moe The menggunakan nama ‘John (Palmistry)’ dan sering menyiarkan ramalan berbentuk teks dengan latar belakang bintang dan alam.

    Selain gempa bumi, dia juga pernah meramalkan bencana alam lain, pembebasan pemimpin Aung San Suu Kyi yang digulingkan dalam rampasan kuasa 2021 dan juga serangan udara Amerika ke atas Myanmar. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda