Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nuklear Malaysia perkukuh pertanian guna teknologi mutasi

    BANGI, 30 SEPT – Teknologi nuklear memainkan peranan penting dalam meningkatkan hasil pertanian termasuk melalui penghasilan baka baharu tanaman kenaf yang lebih produktif dan serba guna.

    Dihasilkan melalui kaedah mutasi aruhan menggunakan sinar gama, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) berjaya membangunkan baka baharu yang bukan sahaja menghasilkan lebih banyak fiber untuk kegunaan industri malah turut mengeluarkan lebih banyak daun kenaf yang boleh diproses menjadi minuman herba kesihatan.

    Bercakap kepada Bernama baru-baru ini, Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata penambahbaikan tanaman itu dilakukan menerusi pendedahan terkawal kepada sinar gama yang membolehkan perubahan pada peringkat asid deoksiribonukleik (DNA) bagi menghasilkan varieti baharu yang lebih tahan lasak serta mampu mengeluarkan batang dan daun berkualiti dalam kuantiti yang banyak.

    “Jadi, kami bersama-sama LKTN telah menghasilkan baka baharu kenaf… dengan ciri-ciri yang lebih baik. Contohnya, daun lebih lebar, jadi jika diproses menjadi minuman, hasilnya lebih banyak berbanding baka lama… sama dengan fiber juga,” katanya.

    Selain kenaf, beliau berkata kaedah sama turut digunakan untuk membangunkan benih padi baharu yang mampu tumbuh di kawasan tanah marginal serta tahan terhadap serangan penyakit dan perubahan cuaca.

    “Teknologi mutasi aruhan sinar gama disasarkan untuk digunakan bagi menghasilkan varieti tanaman baharu yang tahan kemarau, lebih tahan penyakit serta menghasilkan hasil yang lebih tinggi… antara kejayaan penting ialah penghasilan varieti padi baharu NMR152 yang mula ditanam oleh pesawah dari tahun 2023,” katanya. – Bernama

    Muhammad Rawi ketika ditemu ramah oleh Bernama di Agensi Nuklear Malaysia pada 30 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda