Friday, May 9, 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nunez digantung lima perlawanan

    ASUNCION, 29 OGOS – Penyerang Liverpool dari Uruguay, Darwin Nunez telah digantung lima perlawanan dan didenda oleh Konfederasi Amerika Selatan, CONMEBOL selepas terlibat dalam pergaduhan besar-besaran di separuh akhir Copa America.

    Empat pemain lain turut digantung, dengan keseluruhan 11 orang dikenakan tindakan disiplin, hasil daripada siasatan terhadap keganasan yang berlaku pada akhir perlawanan antara Uruguay dan Colombia di Charlotte.

    Nunez adalah antara pemain yang turut terbabit dalam pergaduhan dengan penyokong di Stadium Bank of America di mana mereka berbalas tumbukan dengan penyokong semasa kekecohan pada penghujung perlawanan.

    Hukuman terhadap penyerang itu merupakan yang paling berat antara yang dikenakan, dengan pemain lain dikenakan penggantungan empat perlawanan atau kurang berserta denda.

    Pemain tengah, Rodrigo Ben-tancur, yang bermain di England untuk Tottenham, digantung empat perlawanan, manakala pemain pertahanan Mathias Olivera, Ronald Araujo dan Jose Maria Gimenez masing-masing digantung tiga perlawanan.

    Reaksi Darwin Nunez semasa perlawanan bola sepak separuh akhir Copa, di Charlotte, Amerika Syarikat pada 10 Julai. – AP

    Nunez didenda AS$20,000, manakala pemain lain menerima denda antara AS$16,000 hingga paling rendah $5,000 dan enam pemain lain hanya dikenakan denda sahaja.

    Selain itu, Persekutuan Bola Sepak Uruguay turut didenda AS$20,000 dengan jumlah tersebut akan ditolak daripada pendapatan dan hadiah wang kemenangan.

    Pemain pertahanan tengah Uruguay, Gimenez berkata para pemain terlibat dalam kekacauan itu kerana bimbang akan keselamatan ahli keluarga dan orang tersayang yang menonton perlawanan itu.

    Hukuman terbuka untuk rayuan namun kenyataan CONMEBOL tidak menyatakan bila penggantungan tersebut, yang meliputi permainan yang dianjurkan oleh CONMEBOL dan bukan pertandingan domestik, akan bermula.

    Uruguay dijadualkan bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Guatemala di Fort Lauderdale, Florida pada Ahad dan kemudian memulakan pusingan kelayakan Piala Dunia di tempat sendiri menentang Paraguay pada 6 September dan seterusnya bertandang ke Venezuela pada 10 September. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda