BANDAR SERI BEGAWAN, 24 MAC – Pusat pengajian Nuqra Quranic mencipta sejarah apabila mengadakan acara maraton mengaji 24 Jam bermula jam 7 pagi sehingga keesokan hari secara langsung di TikTok kelmarin.
Acara berkenaan bertujuan untuk menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan dengan bacaan Al-Quran tanpa henti, sekali gus menggalakkan lebih ramai umat Islam untuk terus mendekati kitab suci tersebut.
Program ini mendapat sambutan luar biasa dengan ribuan tontonan dari seluruh negara apabila, tenaga pengajar Nuqra Quranic bergilir-gilir membaca Al-Quran disertai dengan perkongsian tajwid, tadabbur, dan doa sepanjang 24 jam.
Salah seorang penonton memberikan maklum balas positif apabila mengatakan: “Alhamdulillah, siuk dapat meliat TikTok Live orang Brunei baca Quran. Banyak ilmu tajwid yang saya pelajari. Tahniah Nuqra Quranic! Semoga ada lagi program seperti ini.”
Pencapaian berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Nuqra Quranic dalam memanfaatkan teknologi digital untuk dakwah, serta menyebarkan keindahan Al-Quran kepada masyarakat.
Pihak Nuqra Quranic merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta dan berharap usaha berkenaan memberi inspirasi untuk terus mencintai, membaca, dan menghayati Al-Quran dalam kehidupan seharian.
Antara pengajar yang terlibat semasa program berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN NUQRA QURANIC