KUALA LUMPUR, 3 MAC – Hanya satu penamat podium menjadi sasaran pelumba tunggal wanita Pasukan Tobaki Pink Racing Team (TPRT) Nur Dini Uzma Abdullah yang beraksi dalam kategori Wira KBS pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022.
Beliau berkata sasaran itu dilihat realistik memandangkan saingan kali ini adalah musim penuh pertamanya, selepas hanya berpeluang beraksi dalam dua perlumbaan tahun lepas.
Selain mengejar satu kedudukan podium, Nur Dini juga berharap dapat mengekalkan tunggangan dengan baik seterusnya membantunya mengutip mata dalam setiap pusingan perlumbaan sepanjang musim 2022.
“Harapan untuk tahun ini cuba untuk kutip mata untuk pasukan… saya cuba untuk dapatkan podium kerana itu impian saya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Bekas pelumba pasukan SCM bagi perlumbaan ‘Yamaha One Make NVX Challenge’ tahun lepas itu berkata beliau tidak gentar untuk bersaing dalam kelas yang didominasi kaum lelaki itu dan menganggap kesemua pelumba mempunyai peluang sama rata.
“Pencabar itu boleh dikatakan semua, tahun ini banyak pelumba baharu dan apabila saya masuk dalam kelas perlumbaan ini saya kena berjuang bersungguh-sungguh,” katanya.
Kejuaraan Cub Prix 2022 akan membuka tirai di Litar Sepang (Utara) pada 12 dan 13 Mac. – Bernama