Lima tahun tiada karya baharu bukan bererti penyanyi, Nur Fatima ‘lesap’ daripada dunia persada seni suara.
Biarpun kini menetap di Canberra, Australia selepas mendirikan rumah tangga dengan warga Australia, Mohd Jeffry Wain Wright, namun Nur Fatima tetap menyemat keinginan muncul dengan single baharu.
Lari daripada zon selesa, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Selembut Sutera itu tampil dengan single Galeri berkolaborasi dengan penyanyi rap, Kayda.
Nur Fatima berkata, dia agak gusar apabila mempertaruhkan genre pop dengan elemen hip hop memandangkan lebih selesa dengan rentak balada. Namun, tak salah mencuba selepas mendapat dorongan syarikat rakaman, Warner Music Malaysia.
“Sebenarnya, mungkin agak sukar peminat menerima lagu ini kerana kebanyakannya mahu saya menyanyikan lagu bergenre balada. Apabila saya cakap mahu keluarkan single baharu, jangkakan mereka saya tampil dengan lagu balada.

“Jujurnya, ia adalah keputusan sukar. Bagaimanapun, Warner Music Malaysia dapat meyakinkan saya untuk cuba dengan sesuatu baharu dan segar. Jadi, dari situ keluar idea bekerjasama dengan Kayda.
“Secara dasarnya, saya memilih tampil dengan single Galeri bagi memberikan kelainan, lebih lagi, apabila berduet dengan Kayda,” katanya kepada BH Online.
Bekas graduan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Audio di Institute SEA, Sydney itu mengakui, bukan mudah mengekalkan nama dalam industri hiburan.
“Keadaan lebih sukar apabila dinilai dari segi populariti. Ini kerana populariti naik dan turun. Jadi, saya perlu mengikut peredaran muzik semasa dengan tunjuk ajar syarikat rakaman.
“Akhirnya, saya muncul semula ke persada tanah air dan mahu bekerja lebih keras lagi,” katanya yang pernah menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim keenam (GV6).
Berkongsi mengenai single Galeri, Nur Fatima atau nama sebenarnya, Nur Fatimah Abdul Wahab tampil menerusi sidang media secara maya, petang semalam. Ia turut dihadiri oleh Kayda dan Altimet yang juga salah seorang komposer lagu berkenaan.
Mengulas sambutan single Galeri, Nur gembira apabila lagu berkenaan mendapat sambutan positif.
“Ramai terkejut apabila saya tampil dengan lagu ini, tetapi positif. Saya berharap single Galeri akan mendapat sambutan dan sokongan peminat yang sudah lama tertunggu karya baharu. Semoga ia mendapat tempat di hati penggemar muzik tempatan,” kata anak jati Kuala Lumpur ini.
Single Galeri yang ditulis dan digubah oleh Omar K, AudiMok, Altimet, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga itu boleh didengari di semua penstriman atas talian. – Agensi