Monday, November 25, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nur Fazura maafkan semua

    Runtuh sudah segala tembok dendam. Api kemarahan yang suatu masa dahulu pernah marak, kini semuanya terpadam sendiri.

    Malah, hati yang dahulu cukup sukar melafazkan perkataan maaf atau memberi kemaafan, kini tindakan murni dilakukan dengan penuh keikhlasan.

    Itulah juga pengertian Aidilfitri buat pelakon yang kini bergelar ahli perniagaan, Nur Fazura, 40, apabila memberi takrifan kehadiran Syawal dalam kehidupannya.

    Isteri kepada aktor dan penyanyi, Fattah Amin itu berkata, kehidupannya semakin rapuh menjentik kesedaran dalam diri untuk mengambil sikap memaafkan sesiapa sahaja yang pernah melukakan hatinya tanpa sebarang syarat.

    “Sebelum ini, perkataan saling bermaafan di hari raya dan mahu selesaikan segala perselisihan faham hanya sekadar meniti di bibir sahaja.

    Nur Fazura memahami dan lebih menghargai kepentingan memberi dan menerima kemaafan setelah meningkat dewasa. – Agensi

     

    “Namun, semakin meningkat dewasa, saya mula memahami dan lebih menghargai kepentingan memberi dan menerima kemaafan.

    “Ini kerana kalau kita tengok situasi sekeliling, hari-hari ada pelbagai kes dan kematian berlaku dengan pantas.

    “Dan paling penting untuk menjaga kualiti kehidupan. Saya mahu menjalani kehidupan yang lebih tenang dan gembira, positif tanpa dibebani dengan pergaduhan atau sebarang perselisihan faham,” luah pemilik nama lengkap Nur Fazura Sharifuddin kepada BH Online.

    Pun begitu, kata penyandang trofi Aktres Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 ini setiap individu berhak menyaring siapa yang perlu berada di sisi selepas kemaafan diberi.

    “Apa yang perlu dilakukan adalah, maafkan sahaja mereka. Tetap pada masa sama, menjadi hak kita untuk tidak lagi berkawan dengan mereka.

    “Tetapi kalau ada sengketa yang perlu diselesaikan membabitkan keluarga ataupun rakan yang dirasakan masih ada kebaikan dalam diri, tidak salah untuk memaafkan dan berdamai dengan mereka,” ungkapnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda