Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nur Hamizah Samihon dinobat calon penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2024

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Seorang lagi penulis prolifik tanah air, Hajah Nur Hamizah binti Haji Samihon, atau lebih dikenali dengan nama pena Nur Hamizah Samihon, telah diumumkan sebagai calon penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara bagi Negara Brunei Darussalam Tahun 2024.

    Majlis penghargaan tersebut diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), melalui Bahagian Penyelidikan, Dokumentasi dan Pengiktirafan selaku urus setia anugerah berprestij itu.

    Anugerah Penulis Asia Tenggara merupakan pengiktirafan berprestij daripada Kerajaan Thailand yang diberikan kepada para penulis dan penyair dari negara-negara ASEAN.

    Brunei Darussalam mula menyertai anugerah tersebut sejak tahun 1986.

    Panel Penilai Negara Brunei Darussalam sepakat memilih novel 20 sebagai karya yang melayakkan Hajah Nur Hamizah menerima pengiktirafan ini. Penulis serba boleh ini juga menghasilkan pelbagai karya dalam genre cerpen, novel dan puisi, antaranya Ira, Ubati Lukamu… (2008), Cincin Bertaris Condong (2011), Kembara Mencari Cahaya (2015), Manis (2017), Kasut Tumit Tinggi Ayla (2018), Empat Pasang Anting-anting (2019), Selam Skuba ke Lautan Hatiku (2021) dan 20 (2024).

    Minat Hajah Nur Hamizah dalam bidang penulisan bermula sejak di bangku sekolah rendah.
    Pada tahun 2016, beliau menerima Hadiah Penghargaan Sasterawan Muda Mastera di Jakarta, Indonesia. Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian Master of Education (Specialisation in Innovative STEM Education) di Curtin University, Australia, di bawah Skim Latihan Dalam Perkhidmatan Seberang Laut.

    Majlis penghargaan tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan) KKBS, Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah, selaku ketua majlis; Pemangku Timbalan Pengarah DBP, Hajah Haireni binti Haji Awang Damit; ahli panel penilai negara serta wakil urus setia Unit Pengiktirafan.

    Penganjuran Anugerah Penulis Asia Tenggara tersebut diharap menjadi pemangkin dan inspirasi kepada para penulis di Brunei Darussalam, sekali gus mendorong mereka untuk terus menghasilkan karya sastera yang berkualiti, kreatif dan bernilai tinggi di persada sastera serantau.

    Hajah Nur Hamizah Samihon menghadiri majlis penghargaan tersebut secara maya melalui aplikasi Zoom. – GAMBAR SERAHAN DBP BRUNEI
    Majlis penghargaan itu diketuai oleh Dr Siti Norkhalbi. – GAMBAR SERAHAN DBP BRUNEI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda