Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nur Hazarena juara pertandingan tulisan Jawi

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Dayang Nur Hazarena Alyna binti Abdullah, murid dari Sekolah Rendah (SR) Awang Haji Mohd Yusof Katimahar, telah diumumkan sebagai pemenang tempat pertama Peraduan Menulis Nama dan Tandatangan dalam Tulisan Jawi bagi Pelajar-pelajar Sekolah Rendah di Negara Brunei Darussalam, yang berlangsung di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), hari ini.

    Manakala tempat kedua dan ketiga, masing-masing dimenangi oleh Awang Mohd Khaleel Shareef bin Mohd Sahril Rizuan dari SR Kampung Mata-Mata Gadong dan Awang Muhammad Adam bin Nayan dari SR Puni, Temburong.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang peraduan ialah Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

    Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath KUPU SB, Pengiran Dr Hajah Norwidayawati binti Pengiran Haji Metusin dalam ucapan alu-aluannya berkata, peraduan itu diadakan adalah sebagai usaha untuk memartabatkan penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat lebih-lebih lagi kepada generasi muda masa kini, di samping memupuk rasa cinta kepada warisan budaya Melayu.

    Beliau seterusnya menjelaskan antara lain matlamat peraduan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta minat para peserta terhadap tulisan Jawi, di samping memupuk kebolehan para peserta dalam menulis tandatangan menggunakan tulisan Jawi, sekali gus meningkatkan keyakinan jati diri MIB melalui penglibatan dalam peraduan ini.

    Pengiran Dr Hajah Norwidayawati semasa menyampaikan ucapan alu-aluan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Profesor Madya Dr Haji Abdul Nasir menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Beliau juga mengongsikan bahawa peraduan tersebut dibukakan kepada pelajar-pelajar di sekolah rendah di Kementerian Pendidikan yang berumur antara 10 hingga 11 tahun.
    Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa bengkel telah diberikan seminggu sebelum tarikh akhir penghantaran karya.

    Ini antara lain bertujuan sebagai persediaan untuk kemudahan mengikuti peraduan ini, selain memberi pendedahan awal kepada guru-guru supaya mereka boleh membimbing pelajar dengan lebih baik sebelum peraduan bermula.

    Di samping itu, jelasnya, ia juga berfungsi sebagai platform untuk meningkatkan kefahaman dan penguasaan guru-guru dalam tulisan Jawi yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai urusan rasmi dan pendidikan.

    Beliau seterusnya berkata, “Bagi pelajar yang berjaya dalam peraduan ini, semoga kejayaan ini menjadi dorongan untuk terus mengasah bakat dan kemahiran kamu dalam Jawi.

    “Peraduan ini menunjukkan satu pencapaian yang perlu dibanggakan di negara Brunei dalam memupuk kecintaan pelajar yang lebih mendalam terhadap seni khat dan tulisan Jawi, kerana ia bukan sahaja sebahagian daripada warisan bangsa Melayu, malah ia juga membawa sejarah dan budaya yang harus kita hargai dan kekalkan,” katanya.

    Peraduan anjuran KUPU SB melalui Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath itu telah menerima sebanyak 30 karya peserta daripada 11 buah sekolah rendah di Negara Brunei Darussalam, dan 10 karya peserta telah terpilih dan dipertandingkan secara spontan di peringkat akhir.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda