Nur, Nur 2 temui penonton sepanjang Ramadan

Drama yang mencetuskan fenomena, Nur dan Nur 2 arahan ShahrulezadMohameddin diulang siar di TV3 bermula Selasa ini.

Drama terbitan syarikat produksi, Radius One Sdn Bhd akan menghiasi slot Samarinda, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam sepanjang Ramadan dan Aidilfitri ini.

Shahrulezad yang juga penerbit drama berkata, dia terharu apabila stesen TV3 menghubungi untuk memaklumkan naskhah Nur dan Nur 2 akan disiarkan kembali.

“Kami terperanjat apabila wakil TV3 memberitahu hasrat mengulang siar drama ini. Apatah lagi, drama ini akan disiarkan menerusi slot Samarinda.

“Ini kali pertama TV3 menyiarkan drama ulangan dan bukan cerita baharu menerusi slot Samarinda.

“Tentunya, saya menerima berita ini dengan berlapang dada, malah barisan pelakon teruja selepas dimaklumkan berita gembira ini,” katanya.

Dia yakin TV3 mempunyai alasan tersendiri untuk mengulang siar drama berkenaan kerana diyakini mampu menarik perhatian penonton.

Shahrulezad berkata, dua drama itu akan disiarkan hingga musim Aidilfitri ini.

“Selepas selesai tayangan drama Nur, diikuti Nur 2 pula.

“Saya berharap inisiatif TV3 dapat melepaskan kerinduan peminat yang meminati drama ini,” katanya.

Drama Nur mencetuskan fenomena disiarkan pada Ramadan, dua tahun lalu. Ia membariskan pelakon hebat seperti AmyraRosli, SyafiqKyle, AtiqAzman, Fatimah Abu Bakar, Datuk JalaluddinHassan, Noorkhiriah dan Azhan Rani. – Agensi