Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Bagi meraih pahala dan keberkatan dalam membaca Al-Quran, Kumpulan Nur Rahmah, baru-baru ini telah mengadakan majlis khatam Al-Quran setelah berjaya menamatkan tadarus secara maya yang diadakan setiap hari.
Majlis yang diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri secara fizikal itu dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai diikuti dengan bacaan surah-surah lazim yang diketuai oleh Haji Anuar bin Penghulu Haji Ibrahim.
Tadarus secara maya itu dilakukan sejak negara masih lagi dilanda COVID dengan surau-surau dan masjid ditutup sebagai langkah memerangi penyakit berbahaya itu.
Dengan majlis khatam Al-Quran secara fizikal ini, ia dapat memberi kesempatan kepada semua ahli untuk bersua muka secara fizikal selepas mengadakan pembacaan Al-Quran bersama-sama secara maya.
