Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Gleneagles JPMC sekali lagi mengesahkan komitmennya kepada pembangunan tenaga kerja penjagaan kesihatan negara dengan menganugerahkan Biasiswa Kejururawatan kepada seorang pelajar dari Kolej Sains Kesihatan JPMC.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Gleneagles JPMC, di sini, majlis penandatanganan bagi biasiswa berkenaan diadakan di Gleneagles JPMC dengan disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC, Dr Peter Tay bersama pegawai-pegawai kanan hospital dan kolej berkenaan.
Program biasiswa tahunan tersebut mencerminkan dedikasi berpanjangan Gleneagles JPMC untuk memupuk profesional kejururawatan didikan tempatan. Penerima biasiswa, Dayang Nurfatin Dania Syahirah binti Siran akan mengikuti kursus selama tiga tahun bagi Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejururawatan di Kolej Sains Kesihatan JPMC.
Setelah menamatkan pengajiannya, beliau akan memulakan kerjaya profesionalnya dengan hospital berkenaan.
Dr Peter Tay mengongsi lebih 60 peratus daripada 240 orang kakitangan merupakan jururawat dan profesional penjagaan kesihatan bersekutu di mana hanya 40 peratus jururawat mereka terdiri daripada warga tempatan.
Ia kerana kemahiran khusus yang diperlukan dalam kejururawatan penjagaan jantung masih terhad di Brunei. Oleh itu, inisiatif seperti biasiswa berkenaan, dengan kerjasama Kolej Sains Kesihatan JPMC, tambahnya, adalah penting dalam membina kumpulan bakat tempatan yang lebih kuat.
Sementara itu, Pengarah Kejururawatan di Gleneagles JPMC, Chandra merakamkan perasaan bangga terhadap hospital berkenaan yang bakal mengalu-lakan jururawat generasi akan datang.
Biasiswa itu mencerminkan komitmen hospital bukan sahaja mengangkat standard profesional tetapi juga menjana peluang kerjaya bermakna bagi jururawat Brunei.
Dayang Nurfatin Dania Syahirah mengongsikan minatnya dalam kejururawatan lahir dari usia muda lagi dan minat itu, diperkukuhkan menerusi aktiviti kesukarelawanan dan penglibatannya dalam pasukan pertolongan cemas sekolah di mana beliau mendapat pengalaman langsung dengan membantu orang lain.



