KUCHING, 26 SEPT – Nurul Farha Abdul Hamid hanya mula belajar memanah empat tahun lepas sebagai aktiviti mengisi masa lapang dan senaman untuk tangan selepas mengalami masalah kesihatan yang melumpuhkannya sehingga bergantung kepada kerusi roda.
Namun, dalam masa yang singkat, beliau mampu bangkit daripada keadaan itu untuk mencuri tumpuan pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) kali ini dengan merangkul empat pingat emas dalam acara memanah compound di Lapang Sasar Memanah Petra Jaya.
Atlet berusia 37 tahun dari Ipoh, Perak itu muncul juara acara individu wanita, berpasukan wanita bersama D Anna Maria dan berpasukan campuran bersama K Kumar pada hari ini, selepas meraih emas bagi pusingan kelayakan dengan 616 mata, Isnin lalu.
Berkongsi kisahnya dengan Bernama, Nurul Farha berkata beliau mengalami masalah jantung serta keradangan demyelinating polyradiculoneuropathy kronik (CIDP), iaitu penyakit saraf yang boleh membawa kepada kelumpuhan sejak 2017.
“Ketika itu, saya baru empat bulan selepas melahirkan anak. Apabila berjalan beberapa kali jatuh, barulah saya dapat tahu ada masalah kesihatan ini. Saya juga mempunyai masalah sel darah yang menyebabkan antibodi saya kosong,” katanya. – Bernama