Monday, February 10, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nurul Wahab lancarkan album berbahasa Perancis

    BUKAN lagi omongan kosong, Nurul Wahab berjaya merealisasikan impiannya melalui kelahiran album terbarunya dalam bahasa Perancis.

    Diberi nama Humaine, album yang mendapat sentuhan daripada komposer muda berbakat besar, Kirsten Harma itu dijangka bakal menembusi pasaran Eropah, akhir tahun ini.

    Bahkan, pelantun Kerana Terluka ini sedang sibuk menjalani proses penggambaran pembikinan kulit album dan klip video muzik hasil kolaborasi dengan Kelab Pelancongan HVT di Paris sehingga 7 November depan.

    “Alhamdulillah, mungkin ini rezeki saya. Lagipun, album tu dah siap Jun lalu. Tapi, sebab jadual terlalu padat, saya terpaksa menangguhkan sebentar. Insya-ALLAH, saya akan berada di sana selama seminggu,” katanya.

    Mengulas lanjut, katanya, idea menghasilkan album terbabit sudah lama dipendamkan.

    Nurul Wahab berjaya merealisasikan impiannya melalui kelahiran album terbarunya dalam bahasa Perancis, Humaine.

    Pada masa sama, suaminya, Eric Daniel Depp, pernah memperdengarkan lagu yang dirakam kepada seorang kenalan muzik.

    “Sebenarnya, projek ini dah pun bermula awal tahun lalu. Cuma, tak terbuat sebab saya takut dan tak ada keyakinan diri.

    “Tapi, selepas puas berfikir, saya beranikan diri untuk ambil risiko dan sedia menggalas gelaran sebagai artis baru di negara orang,” katanya.

    Lantaran itu, penyanyi berusia 40 tahun ini terus menyimpan hasrat menghasilkan dan memasarkan album ke negara terbabit.

    Pun begitu, Nurul menyedari proses penghasilan album berkenaan bukan mudah lantas mengambil sedikit waktu untuk lebih mempersiapkan diri.

    Katanya, dia mengambil masa selama empat bulan berkomunikasi dan bekerja dengan Kristen dan mengambil keputusan mempelajari bahasa Perancis dengan baik, termasuk aspek diksi dan intonasi.

    Ujar Nurul Lagi, dia tidak mahu mengambil mudah perkara itu dengan menghadiri kelas bahasa Perancis, dua kali seminggu.

    “Saya juga belajar membaca nota lagu dengan Cikgu Siti Hajar kerana Kristen juga sangat berpengalaman dalam muzik orkestra. Oleh itu, saya harus betul-betul bekerja keras untuk berada di tahapnya.

    “Keseluruhannya, terdapat tujuh lagu termasuk satu lagu berbahasa Inggeris di dalam album ini,” katanya.

    Bukan itu sahaja, penyanyi lagu Cinta Azali ini juga mengakui terpaksa mengorbankan waktunya yang kerap berulang-alik ke Perancis.

    “Memang penat, sekali mengikuti penerbangan yang mengambil masa selama 12 ke 13 jam, tapi itulah, saya suka kerja saya.

    “Nasib saya baik, suami dan anak-anak pun menyokong kerjaya saya,” kata ibu kepada Ayu Nazirah, Raphael Depp dan Zachary Depp ini.

    Meskipun bimbang, Nurul bagaimanapun optimis dengan penerimaan masyarakat di Perancis terhadap albumnya itu.

    Tambahan pula, katanya, industri muzik di Perancis lebih bersikap terbuka selain memiliki pasaran yang cukup luas.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda