Friday, May 2, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nurzhafarina menang anugerah Whitley lindungi gajah Borneo

    KOTA KINABALU, 1 MEI – Pakar pemuliharaan gajah Malaysia, Dr Nurzhafarina Othman, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Whitley 2025 yang berprestij oleh Whitley Fund for Nature (WFN) yang berpangkalan di United Kingdom, sebagai pengiktirafan terhadap usaha gigihnya melindungi spesies gajah Borneo di Sabah.

    Nurzhafarina, pengasas dan pengarah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan Seratu Aatai (membawa maksud ‘bersatu hati’), dan merangkap pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), menerima anugerah bernilai £50,000 (kira-kira RM287,000) itu daripada penaung WFN Puteri Anne di Royal Geographical Society, London, malam tadi.

    Menurut kenyataan Whitley Fund for Nature, anugerah itu diberikan bagi menyokong usaha beliau melindungi kira-kira 300 ekor gajah Borneo yang masih wujud di pantai timur Sabah, kawasan yang kini menyaksikan peningkatan konflik antara manusia dan gajah akibat penyusutan habitat.

    Anugerah itu juga mengiktiraf pendekatan inovatif beliau melibatkan pihak berkepentingan dalam industri sawit di kawasan Lower Kinabatangan untuk melaksanakan amalan mesra gajah serta mewujudkan rangkaian koridor perlindungan bagi spesies gajah terkecil di dunia.

    Menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), gajah Borneo telah kehilangan 60 peratus habitat hutannya dalam tempoh empat dekad lalu akibat aktiviti pembalakan dan penanaman kelapa sawit. Spesies itu telah disenaraikan sebagai Terancam dalam Senarai Merah IUCN sejak tahun lepas. – Bernama

    Dr Nurzhafarina Othman, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Whitley 2025, pada 30 April. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda