Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nusantara bakal komersialkan teksi terbang pada 2029

    JAKARTA, 12 NOV – Pihak Berkuasa Ibu Kota Nusantara (IKN) kini sedang berusaha untuk mengkomersialkan teksi terbang atau teksi udara menjelang 2029 sebagai sebahagian daripada inisiatif mobiliti udara pintar di ibu kota masa depan.

    Timbalan Transformasi Hijau dan Digital IKN, Mohammed Ali Berawi, menyatakan bahawa usaha pengkomersialan itu akan merangkumi pembangunan industri yang berkaitan dengan mobiliti udara bandar (UAM) dan mobiliti udara maju (AAM).

    “Ini juga termasuk pengembangan ekosistem UAM-AAM,” kata Ali seperti yang dilaporkan oleh Kompas.

    Persediaan awal, termasuk penyediaan peraturan ruang udara, penilaian teknologi dan penyelidikan lain yang diperlukan, kini sedang dijalankan bagi menyokong matlamat ini.

    Pihak Berkuasa IKN bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Aeroangkasa Korea (KARI) dan Syarikat Hyundai Motors (HMC) untuk merealisasikan projek pengangkutan yang bercita-cita tinggi di Nusantara. Peta jalan projek itu dibahagikan kepada tiga fasa utama, iaitu fasa pertama pada 2024 dan 2025; fasa kedua pada 2026 hingga 2028 dan fasa ketiga pada 2029.

    Teksi terbang buatan Korea Selatan itu mempunyai kapasiti lima penumpang dan menggunakan bateri sebagai sumber tenaga utama, selaras dengan matlamat kerajaan untuk membangunkan ibu kota baharu yang inklusif, hijau dan lestari. – ANN/The Jakarta Post

    Gambar fail menunjukkan teksi terbang OPPAV yang dikeluarkan oleh KARI dan HMC dijangka akan digunakan di ibu kota baharu Nusantara. – ANN/The Jakarta Post
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda