Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Syarikat Boustead Sdn Bhd kini memperkenalkan Nissan NV350 Urvan iaitu sebuah van tujuh tempat duduk yang lebih canggih, sesuai digunakan untuk perniagaan dan bersantai.
Model NV350 Urvan versi facelift berkenaan telah diperkenalkan dengan menjemput pelanggan ke Bilik Pameran Nissan untuk menyaksikan lebih dekat Urvan yang diubah suai dari segi penampilan, fungsi dan keluasan.
Turut hadir ialah Pengurus Eksekutif Boustead Sdn Bhd, Lim Jin Lee dan Pengurus Kanan Operasi Boustead, Tan Teck Hock.
NV350 Urvan dikuasakan dengan enjin QR25DE 2.5 liter, inline-4-silinder, DOHC 16 injap dengan transmisi automatik lima kelajuan. Perubahan paling ketara pada model facelift ini adalah dari segi gril depan berbentuk ‘V-Motion’, lampu brek yang kini menggunakan LED dan penghawa dingin automatik.
Dari segi keselamatan, model terbaru ini dilengkapi Sistem Anti-Lock Braking (ABS), Electronic Brake Force Distribution (EBD) dan teknologi bantuan brek (BA) yang membantu semasa membuat perhentian secara mengejut. Sebagai program ganjaran untuk pelanggan, mereka yang membeli NV350 Urvan akan menerima pengubahan rim daripada 15″ kepada 17″ secara percuma.

