ARAB SAUDI, 14 MEI – Syarikat pengeluar cip dari Amerika Syarikat (AS), Nvidia akan bekerjasama dengan syarikat permulaan AI milik dana kekayaan negara Arab Saudi, Humain, dan akan menghantar sebanyak 18,000 cip ke negara Timur Tengah itu bagi menyokong projek pusat data baharu.
Kerjasama ini diumumkan kelmarin sempena lawatan rasmi Rumah Putih ke Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.
Arab Saudi kini giat membangunkan keupayaan kecerdasan buatannya dan memperkukuh infrastruktur pengkomputeran awan dengan bantuan pelaburan asing.
“Kecerdasan buatan, seperti elektrik dan Internet, merupakan infrastruktur penting bagi setiap negara,” kata Jensen Huang, pengasas Nvidia. “Bersama Humain, kami sedang membina infrastruktur AI untuk rakyat dan syarikat di Arab Saudi bagi merealisasikan visi negara.”
Cip canggih Blackwell akan digunakan dalam pusat data berkapasiti 500 megawatt di Arab Saudi.
Menurut kenyataan yang dibuat dalam Forum Pelaburan Saudi-AS di Riyadh kelmarin, Syarikat dari California itu menyatakan penghantaran pertama akan menggunakan cip GB300 Blackwell, antara cip AI paling maju keluaran Nvidia setakat ini, yang hanya diumumkan secara rasmi pada awal tahun ini. – AP
