ISTANBUL, 14 MEI – Syarikat cip terkemuka Amerika Syarikat (AS), Nvidia akan bekalkan pemproses berteknologi tinggi kepada syarikat milik kerajaan Arab Saudi, Humain untuk digunakan di kilang kecerdasan buatan (AI) yang bakal dibina di negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Presiden AS Donald Trump, yang kini dalam lawatan ke Arab Saudi sebagai sebahagian daripada jelajah Timur Tengahnya, turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang.
Huang mengumumkan kerjasama strategik bersama Humain itu pada sebuah forum pelaburan yang diadakan bersempena lawatan tersebut.
Dalam satu kenyataan, Nvidia memaklumkan Humain akan melabur di Arab Saudi dalam tempoh lima tahun akan datang bagi membangunkan kilang AI dengan kapasiti keseluruhan sehingga 500 megawatt.
“Fasa pertama pelaksanaan akan melibatkan 18,000 unit superkomputer AI NVIDIA GB300 Grace Blackwell, yang dilengkapi rangkaian NVIDIA InfiniBand,” menurut syarikat itu. – Bernama/Anadolu
