Wednesday, April 16, 2025
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nvidia bina cip superkomputer tercanggih di AS

    SAN FRANCISCO, 15 APRIL – Nvidia kelmarin mengumumkan rancangan untuk membina cip superkomputer kecerdasan buatan (AI) tercanggih di Amerika Syarikat (AS) buat kali pertamanya.

    Kilang superkomputer sedang dibina di Texas dengan kerjasama Foxconn dan Wistron, dengan pembuatan dijangka meningkat dalam tempoh 12 hingga 15 bulan akan datang, menurut syarikat yang berpangkalan di Silicon Valley itu.

    Kilang Syarikat Pembuatan Semikonduktor Taiwan (TSMC) di Arizona telah pun memulakan pengeluaran unit pemprosesan grafik (GPU) paling canggih Nvidia, yang dikenali sebagai Blackwell, tambah Nvidia.

    “Enjin infrastruktur AI dunia sedang dibina di AS buat kali pertama,” kata Ketua Eksekutif Nvidia, Jensen Huang dalam catatan blog.

    “Menambah pembuatan Amerika membantu kami memenuhi permintaan yang luar biasa dan semakin meningkat untuk cip dan superkomputer AI, justeru mengukuhkan rantaian bekalan dan meningkatkan daya saing kami,” tambahnya.

    Nvidia merancang untuk menghasilkan infrastruktur AI di AS bernilai setengah trilion dolar menjelang akhir dekad ini melalui perkongsian dengan TSMC, Foxconn, Wistron, Amkor dan SPIL.

    “Merangsang industri ini adalah baik untuk pekerja, ekonomi dan keselamatan negara Amerika,” kata Rumah Putih dalam satu kenyataan.

    Kerajaan AS telah menyekat eksport cip AI ke China kerana kebimbangan keselamatan negara dan mengekalkan pengeluaran dalam negara membolehkan kawalan yang lebih ketat terhadap reka bentuk dan produk. – AFP

    Huang bercakap semasa ucaptama Nvidia GTC pada 18 Mac di San Jose, California. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda