NEW YORK, 18 SEPT – Syarikat cip Amerika Syarikat, Nvidia akan melabur AS$5 bilion dalam pembuat semikonduktor Intel untuk projek pembangunan bersama, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Di bawah perjanjian itu, kedua-dua syarikat berkata mereka akan membangunkan pusat data dan produk PC, ketika perkembangan kecerdasan buatan (AI) merangsang permintaan yang sengit untuk semikonduktor berprestasi tinggi seperti yang dibangunkan oleh Nvidia.
Cip Nvidia yang dikenali sebagai GPU mendapat permintaan tinggi daripada syarikat gergasi teknologi yang membina pusat data untuk aplikasi AI.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang berkata dalam kenyataan hari ini, perjanjian itu menandakan gabungan dua platform bertaraf dunia.
“Bersama-sama, kami akan mengembangkan ekosistem kami dan meletakkan asas untuk era pengkomputeran seterusnya,” tambahnya.
Kenyataan itu berkata Nvidia akan melabur AS$5 bilion dalam saham biasa Intel pada harga belian AS$23.28 sesaham.
Pelaburan itu tertakluk kepada syarat perjanjian, termasuk kelulusan kawal selia yang diperlukan, menurut kedua-dua syarikat itu. – AFP


