SAN JOSE, 19 MAC – Nvidia telah melancarkan barisan cip terbaharunya kelmarin untuk menjana kecerdasan buatan (AI), ketika ia berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pembekal utama kepada AI.
“Kami memerlukan GPU yang lebih besar. Jadi saya ingin memperkenalkan awda kepada GPU yang sangat besar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Jensen Huang, pada persidangan pembangun di California, merujuk kepada pemproses grafik yang penting dalam penciptaan generatif AI.
Acara itu, yang digelar ‘AI Woodstock’ oleh penganalisis Wedbush Dan Ives, telah menjadi tarikh yang tidak boleh dilepaskan dalam kalendar teknologi besar kerana peranan tunggal Nvidia dalam revolusi AI yang telah melanda dunia sejak pengenalan ChatGPT pada 2022.
“Saya harap awda sedar ini bukan konsert, ini persidangan pembangun,” Huang bergurau sambil naik ke pentas dalam arena yang padat yang biasanya dikhaskan untuk permainan hoki ais dan konsert.
Cip dan perisian GPU yang berkuasa Nvidia adalah ramuan penting dalam penciptaan AI generatif, dengan saingan seperti AMD atau Intel masih bergelut untuk menandingi kuasa dan kecekapan produk terkenal H100, yang dilancarkan pada 2022.
Apple, Microsoft dan Amazon juga merancang untuk membina cip dengan AI, tetapi buat masa ini terperangkap untuk cuba mendapatkan produk Nvidia yang menjadi rebutan bagi memenuhi janji AI mereka sendiri.
Peranan lynchpin dalam revolusi AI telah menyaksikan harga saham Nvidia meningkat kira-kira 250 peratus dalam tempoh 12 bulan yang lalu, mendorong syarikat itu di atas Amazon apabila diukur dengan permodalan pasaran, di belakang hanya Microsoft dan Apple. – AP


