Saturday, February 22, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nvidia lancar Evo 2 untuk penyelidikan genetik

    SAN FRANCISCO, 20 FEB – Pembuat cip AI Nvidia dan rakan penyelidikan mereka telah mencipta sistem kecerdasan buatan (AI) terbesar setakat ini untuk penyelidikan biologi, kata syarikat itu kelmarin, dengan matlamat mempercepat penemuan dalam bidang perubatan dan genetik.

    Sistem AI baharu ini, dikenali sebagai Evo 2, boleh membaca dan merancang kod genetik bagi semua bentuk kehidupan.

    Para saintis berharap teknologi AI itu dapat mempercepatkan penyelidikan dengan mengenal pasti pola dalam sejumlah besar data yang biasanya memerlukan bertahun-tahun untuk dianalisis secara manual.

    Sistem itu mempelajari hampir sembilan trilion maklumat genetik yang diambil daripada lebih 128,000 organisma berbeza, termasuk bakteria, tumbuhan dan manusia.

    Dalam ujian awal, ia berjaya mengenal pasti 90 peratus mutasi berpotensi berbahaya dalam BRCA1, gen yang dikaitkan dengan kanser payudara.

    Gambar Freepik

    Para saintis mengatakan itu dapat membantu menghasilkan rawatan yang lebih tepat, termasuk terapi gen yang hanya menyasarkan sel-sel tertentu.

    Model itu dibina menggunakan 2,000 pemproses Nvidia H100 pada infrastruktur awan Amazon. Dibangunkan bersama Arc Institute dan Universiti Stanford, Evo 2 kini tersedia secara percuma untuk saintis di seluruh dunia melalui platform penyelidikan BioNeMo Nvidia.

    “Reka bentuk biologi baharu secara tradisional adalah proses yang memakan masa, tidak dapat diramalkan dan bersifat artisan,” kata Brian Hie, penolong profesor Universiti Stanford.

    “Dengan Evo 2, kami menjadikan reka bentuk biologi sistem kompleks lebih mudah diakses oleh penyelidik”.

    Selain perubatan, para penyelidik percaya teknologi itu boleh membantu mencipta tanaman yang lebih tahan terhadap perubahan iklim dan mengembangkan kaedah baharu untuk mengurai pencemaran. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda