Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nvidia, Microsoft labur AS$15 bilion dalam firma AI Anthropic

    WASHINGTON, 19 NOV – Nvidia dan Microsoft kelmarin mengumumkan pelaburan berjumlah AS$15 bilion dalam syarikat permulaan kecerdasan buatan (AI), Anthropic, pencipta chatbot Claude, di tengah-tengah perbelanjaan besar-besaran dalam teknologi itu serta kebimbangan semakin meningkat mengenai gelembung pasaran.

    Nvidia, peneraju cip AI, komited untuk melabur sehingga AS$10 bilion manakala Microsoft, yang memiliki 27 peratus pesaing Anthropic, OpenAI, berjanji melabur sehingga AS$5 bilion dalam pecipta model AI Claude itu.

    Microsoft turut meneruskan pelaburan besar dalam Copilot, AI miliknya yang beroperasi di platform Azure syarikat tersebut.

    Perjanjian itu merupakan sebahagian daripada kerjasama menyeluruh yang menyaksikan Anthropic bersetuju membeli kapasiti pengkomputeran awan Microsoft bernilai AS$30 bilion serta menggunakan versi terbaharu teknologi cip Nvidia.

    “Kami semakin menjadi pelanggan antara satu sama lain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella, dalam video dalam talian mengumumkan perjanjian tersebut.

    “Kami akan menggunakan model-model Anthropic. Mereka akan menggunakan infrastruktur kami, dan kami akan bekerjasama membawa penyelesaian AI kepada pelanggan.”

    Pelaburan tersebut menandakan penjajaran semula dalam sektor AI generatif, yang menyaksikan persaingan semakin sengit antara peneraju ChatGPT, OpenAI dan pesaing seperti Anthropic, serta Google yang turut melancarkan model Gemini terbaharu kelmarin.

    Anthropic, berpangkalan di California, ditubuhkan pada 2021 oleh bekas kakitangan OpenAI dan memperkenalkan dirinya sebagai syarikat yang mengutamakan keselamatan dalam pembangunan AI. Produk utamanya ialah chatbot Claude dan rangkaian modelnya. – AFP

    Laman web Anthropic pada sebuah komputer riba yang dirakam di New Hyde Park, New York, Amerika Syarikat, pada 22 Ogos lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda