ABU DHABI, 23 MEI – Emiriah Arab Bersatu (UAE) melancarkan Stargate UAE, sebuah projek infrastruktur kecerdasan buatan (AI) utama dengan kerjasama OpenAI, Oracle, NVIDIA, Cisco, SoftBank Group dan G42, lapor agensi berita Emiriah (WAM).
Inisiatif itu diumumkan di Abu Dhabi dengan kehadiran Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan dan dianggap sebagai langkah penting dalam usaha kerjasama antarabangsa ke arah sistem AI generasi akan datang.
Stargate UAE bakal menjadi kluster pengkomputeran berkapasiti 1 gigawatt yang beroperasi dalam UAE-US AI Campus yang baharu ditubuhkan dengan kapasiti keseluruhan 5 gigawatt.
Terletak di Abu Dhabi, kemudahan itu bakal menjadi pembangunan pusat data AI terbesar seumpamanya di luar Amerika Syarikat.
Ia akan dibina oleh G42 dan dikendalikan oleh OpenAI serta Oracle.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan G42, Peng Xiao, menyifatkan projek itu sebagai jambatan ‘yang berasaskan kepercayaan dan cita-cita’, dalam membawa manfaat AI kepada ekonomi dan masyarakat global.
Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman berkata projek UAE itu merupakan langkah besar pertama di bawah program baharu syarikat yang dinamakan OpenAI for Countries.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA, Jensen Huang, pula menyifatkan AI sebagai kuasa transformasi paling besar pada masa kini. – Bernama
