Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nvidia perluaskan kapasiti pengkomputeran AI

    PARIS – Pameran teknologi terkemuka dunia, Vivatech, membuka tirainya di Paris pada Rabu dengan penuh gemilang, apabila Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, mengumumkan rancangan besar syarikat itu untuk memperluaskan kapasiti pengkomputeran AI di Eropah.

    “Dalam tempoh hanya dua tahun, kami akan meningkatkan kapasiti pengkomputeran AI di Eropah sebanyak 10 kali ganda,” kata Huang kepada dewan yang penuh sesak di pusat konvensyen selatan Paris, sambil berjalan di atas pentas dengan jaket kulit ikoniknya.

    Beliau turut mengumumkan kerjasama bernilai berbilion dolar bersama syarikat AI terkemuka Perancis, Mistral AI.

    Orang ramai dari seluruh dunia membanjiri dewan pameran selepas turun dari tren metro yang sesak, dengan ruang pameran dipenuhi gerai berwarna-warni mempamerkan inovasi terkini daripada syarikat permulaan, gergasi teknologi serta firma konvensional.

    Presiden Perancis Emmanuel Macron, yang merupakan tetamu tetap Vivatech, dijangka hadir pada petang Rabu untuk sesi lawatan dan perbincangan bersama syarikat pemula teknologi Perancis.

    Pihak penganjur menjangkakan kehadiran sekitar 14,000 syarikat pemula dan lebih 3,000 pelabur, dengan jumlah pelawat dianggarkan sekurang-kurangnya menyamai angka tahun lalu iaitu seramai 165,000 orang.

    Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia kelahiran Taiwan, Jensen Huang, berucap semasa persidangan sempena edisi ke-9 pameran teknologi dan inovasi syarikat pemula Vivatech, yang berlangsung di Dome de Paris, Pusat Pameran Porte de Versailles di Paris, pada 11 Jun. – AFP
    Model asas terbuka untuk robot humanoid umum, NVIDIA Isaac GROOT N1, dipersembahkan dalam pameran tersebur, yang berlangsung di Dome de Paris, Pusat Pameran Porte de Versailles di Paris, pada 11 Jun. – AFP
    Jensen Huang memperluaskan rangkaian pengkomputeran AI ke Eropah. – AFP
    Gambar AFP

    NNVIDIA JADI TUMPUAN UTAMA

    Huang mengetuai acara pembukaan dengan pembentangan hampir dua jam, yang menerima tepukan gemuruh daripada para hadirin.

    Kerjasama Nvidia dengan Mistral AI akan menyaksikan pembinaan platform pengkomputeran awan menggunakan 18,000 cip berprestasi tinggi ‘Blackwell’ keluaran Nvidia.

    Ketua Eksekutif Mistral, Arthur Mensch berkata, penempatan perkakasan di Eropah akan memberi syarikat-syarikat autonomi strategik yang diperlukan dan menegaskan bahawa projek ini akan mengukuhkan kepimpinan teknologi Eropah.

    Huang juga mengumumkan kerjasama lebih erat dengan rakan sedia ada seperti Siemens dari Jerman dan Schneider Electric dari Perancis, serta pembinaan beberapa pusat data di tujuh negara Eropah.

    Ketika ini, Eropah jauh ketinggalan berbanding Amerika Syarikat dan China dari segi kapasiti pengkomputeran yang diperlukan untuk AI generatif.

    Menurut pejabat Presiden Macron, benua Eropah hanya memiliki kurang daripada lima peratus kapasiti pengkomputeran global, walaupun kita menggunakan sebanyak 20 peratus.

    Menteri Hal Ehwal Digital Perancis, Clara Chappaz, berkata bahawa Perancis akan terus berusaha menjadikan negara ini sebagai tempat terbaik di dunia untuk memulakan
    dan membangunkan perniagaan serta teknologi.

    Namun beliau mengakui bahawa bidang AI “tidak pernah menjadi isu politik sebesar hari ini”.

    PERANG PERDAGANGAN DAN PERSAINGAN TEKNOLOGI

    Nvidia berdepan sekatan eksport oleh Washington terhadap cip-cip berprestasi tingginya, susulan kebimbangan politik Amerika Syarikat untuk mempertahankan kedudukan dominan dalam AI generatif.

    Sekatan ini juga menjadi antara isu utama dalam rundingan perdagangan antara AS dan China.

    Huang memberi amaran bahawa China sedang bergerak pantas untuk mengejar kemajuan teknologi AI.

    Walaupun keputusan kewangan Nvidia pada Mei menunjukkan jualan cip mereka masih kukuh, syarikat itu menjangkakan kesan perlahan mungkin lebih ketara dalam suku semasa.

    Perkembangan politik di Amerika turut menjadi perhatian pemimpin teknologi dan pembuat dasar Eropah, dari dasar tarif tidak menentu bekas Presiden Trump hingga kejurang pembiayaan pembangunan AI antara kedua-dua benua.

    “Isu kedaulatan, yang sebelum ini tidak begitu diberi tumpuan, kini menjadi keutamaan strategik,” kata Pengarah Urusan Vivatech, Francois Bitouzet kepada AFP.

    Menurut Istana Elysee, Macron dijangka sekali lagi menekankan kepentingan kedaulatan teknologi Eropah dalam ucapannya pada Rabu.

    Ucapan itu bakal melanjutkan gesaannya terhadap keterbukaan Perancis dan Eropah kepada AI dalam sidang kemuncak global yang diadakan di Paris pada Februari lalu.

    Pengasas bersama Mistral, Arthur Mensch dijadualkan menyertai perbincangan meja bulat bersama Macron dan Huang pada akhir hari pertama acara, diikuti dengan jamuan makan malam tertutup di kediaman rasmi Presiden, Istana Elysee. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda