SHANGHAI, 16 MEI – Syarikat semikonduktor dari Amerika Syarikat (AS), Nvidia merancang untuk membina sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Shanghai, ketika sekatan eksport yang semakin ketat oleh Washington menjejaskan jualannya di pasaran utama China, menurut laporan Financial Times hari ini.
Kawalan lebih ketat oleh AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menghalang syarikat yang berpangkalan di California itu daripada menjual cip AI tertentu yang dianggap antara tekonologi paling canggih di dunia kepada China.
Syarikat Nvidia kini berdepan persaingan yang semakin sengit daripada syarikat-syarikat teknologi tempatan seperti Huawei dalam usaha mengekalkan kedudukan di pasaran utama itu.
Menurut Financial Times, Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang telah membincangkan rancangan untuk menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan di Shanghai bersama Datuk Bandar Shanghai semasa lawatannya ke bandar itu bulan lalu.
Menurut laporan itu, pusat itu akan dibina dengan tujuan untuk ‘mengkaji permintaan khusus pelanggan China dan syarat-syarat teknikal kompleks yang diperlukan
untuk memenuhi sekatan ketat dari Washington’.
Laporan itu menambah teras sebenar ‘reka bentuk dan pengeluaran’ akan kekal di luar China bagi memastikan pematuhan peraturan pemindahan harta intelek.
Nvidia dan pihak berkuasa Shanghai belum memberikan sebarang maklum balas kepada permintaan AFP untuk memberikan komen kepada laporan itu. – AFP
