BEIJING, 15 JULAI – Sebuah syarikat teknologi besar Amerika Syarikat (AS), Nvidia, telah mengumumkan hari ini mereka akan menyambung semula penjualan cip kecerdasan buatan (AI) H20 ke China, selepas Washington berjanji akan menarik balik sekatan pelesenan yang sebelum ini menghentikan eksport tersebut.
Syarikat yang berpangkalan di California itu telah menghasilkan beberapa cip semikonduktor paling canggih di dunia, namun tidak dibenarkan mengeksport cip paling berkuasanya ke China kerana kebimbangan cip itu akan digunakan oleh Beijing untuk memperkukuhkan keupayaan ketenteraan.
Nvidia turut membangunkan cip H20, versi yang kurang berkuasa daripada unit pemprosesan AI mereka yang khas untuk dieksport ke China.
Bagaimanapun, rancangan itu tergendala apabila pentadbiran Trump memperketat syarat pelesenan eksport pada April lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata mereka kini sedang ‘mengemukakan permohonan untuk menjual semula GPU Nvidia H20.’
“Kerajaan AS telah memberi jaminan lesen akan diluluskan dan Nvidia berharap dapat memulakan penghantaran tidak lama lagi,” kata kenyataan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, dalam satu video yang disiarkan oleh penyiar rasmi China, CCTV, berkata, “Kerajaan AS telah meluluskan permohonan kami untuk menghantar H20, jadi kami akan mula menjual H20 ke pasaran China.”
CCTV dalam laporan berasingan menyatakan Huang akan menghadiri satu perhimpunan utama rantaian bekalan esok.
Pada April lalu, Huang, jurutera elektrik, memberitahu Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng bahawa beliau ‘melihat perkembangan positif dalam ekonomi China,’ menurut agensi berita rasmi Xinhua.
Akhbar Financial Times turut melaporkan pada Mei lalu, Nvidia telah merancang membina pusat penyelidikan dan pembangunan di Shanghai. Namun, Nvidia dan pihak berkuasa bandar tersebut tidak mengesahkan projek berkenaan kepada AFP ketika itu. – AFP
