Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Nvidia, syarikat pertama cecah nilai pasaran AS$4 trilion

    NEW YORK, 10 JULAI – Syarikat gergasi kecerdasan buatan (AI), Nvidia, kelmarin mencipta sejarah sebagai syarikat pertama mencecah nilai pasaran AS$4 trilion, menandakan keyakinan kukuh Wall Street bahawa AI akan merevolusikan ekonomi global.

    Tidak lama selepas pasaran saham dibuka, harga saham Nvidia melonjak setinggi AS$164.42 seunit, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan syarikat itu melebihi AS$4 trilion. Walau bagaimanapun, sahamnya kemudian menurun sedikit dan ditutup di bawah paras rekod tersebut.

    “Pasaran begitu yakin bahawa AI adalah masa depan,” kata Steve Sosnick dari Interactive Brokers. “Nvidia sememangnya syarikat yang paling bersedia untuk meraih manfaat daripada ‘perlumbaan emas’ ini.”

    Nvidia, yang diterajui oleh jurutera elektrik Jensen Huang, kini mempunyai nilai pasaran yang melebihi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perancis, Britain atau India – satu gambaran keyakinan pelabur bahawa AI akan mencetuskan era baharu dalam bidang robotik dan automasi.

    Prestasi terbaharu syarikat cip berpangkalan di California itu turut membantu memacu pemulihan dalam pasaran saham secara keseluruhan, memandangkan prestasi saham Nvidia mengatasi kebanyakan indeks utama.

    Sebahagian daripada pemulihan itu juga disumbang oleh kelegaan selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menarik balik beberapa tarif paling tinggi yang sebelum ini menggegarkan pasaran global pada awal April. – AFP

    Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang menghadiri pameran permulaan teknologi dan inovasi, VivaTech, yang berlangsung di Paris Expo Porte de Versailles, di Paris pada 11 Jun. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda