SEOUL, 7 SEPT – Syarikat permainan video Korea Selatan, NX3 Games, menyatakan hasrat untuk melebarkan sayapnya ke Malaysia dan menyasar membuka ibu pejabat wilayah mereka di Kuala Lumpur tahun depan.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata komitmen itu dizahirkan oleh pengurusan NX3 Games sempena lawatan kerja beliau ke ibu pejabat syarikat permainan video itu, di sini.
Beliau berkata perbincangan bersama pihak NX3 Games menghasilkan satu lagi potensi pelaburan ekonomi digital untuk negara menerusi kaedah tentang bagaimana Malaysia boleh menjadi negara pilihan untuk NX3 Games mengembangkan perniagaan mereka.
“Setakat ini, syarikat Korea Selatan itu hanya melebarkan sayap mereka ke Amerika Syarikat. Insya-Allah Malaysia bakal menjadi negara kedua yang dipilih mereka sebagai destinasi pelaburan.
“Perbincangan juga termasuk kerjasama antara NX3 Games dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang saya lihat bakal membuahkan hasil apabila mereka mengembangkan tapak mereka di rantau Asean dan meletakkan Malaysia sebagai ibu pejabat,” katanya kepada Bernama. – Bernama
