Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    NY dilanda salji luar biasa

    BUFFALO, NEW YORK, 20 NOV – Timbunan salji, di sesetengah tempat lebih tinggi daripada kebanyakan orang dewasa, menimbus sebahagian kawasan barat dan utara New York ketika ribut membadai kawasan di timur Tasik Erie dan Tasik Ontario untuk hari ketiga berturut-turut semalam, dengan lebih banyak salji diramalkan dalam beberapa hari akan datang.

    Salji setinggi 77 inci dilaporkan di pinggir bandar Buffalo, tempat asal pasukan Buffalo Bills. Sementara bandar Natural Bridge, berdekatan pangkalan tentera Fort Drum, melaporkan salji setinggi 6 kaki.

    Turunan salji di beberapa kawasan dilaporkan antara yang tertinggi pernah dicatat, bersamaan dengan jumlah yang turun semasa ribut melanda pada 2014 dan 1945.

    Jumlah salji yang turun, yang bermula pada malam Khamis di beberapa tempat, ‘akan menjadi fenomena bersejarah untuk tahun ini dan juga untuk negara,’ kata ahli meteorologi Perkhidmatan Cuaca Negara, Frank Pereira, di ibu pejabat NWS di College Park, Maryland.

    Ahli kaji cuaca meramalkan salji setinggi beberapa inci mungkin turun hari ini, walaupun Pereira berkata kawasan berlainan di rantau tersebut mungkin terjejas.

    Polis melaporkan dua orang di kawasan Buffalo meninggal dunia ‘akibat jantung terhenti kerana keletihan semasa membersihkan salji.’

    Salji juga dilaporkan turun setinggi 2 kaki di beberapa kawasan di Michigan, selatan Tasik Superior dan timur Tasik Michigan. – AP

    Salji meliputi kawasan Buffalo, New York pada 19 November. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...