ALBANY, NEW YORK, 16 DIS – New York semalam menjadi negeri terbaharu yang melarang penjualan kucing, anjing dan arnab di kedai haiwan dalam usaha menyasarkan operasi pembiakan komersial yang dikecam oleh pengkritik sebagai ‘kilang anak anjing’.
Undang-undang baharu itu, yang ditandatangani oleh Gabenor Kathy Hochul dan berkuat kuasa pada 2024, membenarkan kedai haiwan peliharaan bekerja dengan tempat perlindungan haiwan bagi menggalakkan pengambilan haiwan angkat, termasuk ruang sewa. Hochul berkata pengharaman kedai haiwan peliharaan daripada menjual haiwan peliharaan akan membantu melindungi kebajikan haiwan dan mengekang penternak borong yang kejam.
“Anjing, kucing dan arnab di seluruh New York berhak mendapat rumah yang penuh kasih sayang dan layanan yang berperikemanusiaan,” kata Hochul.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pencegahan Kekejaman Haiwan Amerika, Matt Bershadker berkata ia adalah satu kemenangan bersejarah untuk haiwan dan pengguna.
“Dengan menamatkan kilang anak anjing, di mana haiwan dibiak secara kejam di kedai haiwan peliharaan, New York telah menutup saluran yang membolehkan penjual runcit dan penternak komersial mendapat keuntungan daripada kekejaman yang tidak wajar,” katanya dalam kenyataan. – AP


