Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Nyanyian langsung cabaran baharu di pentas teater’

    Selepas lebih 10 tahun tidak beraksi di pentas teater berskala besar, pelakon Malaysia, Johan As’ari kembali ke gelanggang pementasan, namun kali ini dengan versi berbeza dan mencabar, apabila menuntutnya menyanyi secara langsung dalam Teater Muzikal Uda dan Dara.

    Mengakui cabaran dihadapinya itu mengundang perasaan gemuruh meskipun sudah 15 tahun berkecimpung dalam industri seni, peluang itu tidak mahu disia-siakan pelakon kelahiran Bukit Mertajam ini.

    Johan, 39, berkata karya klasik nukilan Sasterawan Malaysia, Allahyarham Datuk Usman Awang itu menjadi pembakar semangat untuknya kembali ke dunia teater, selain sebagai ruang mengasah bakat dalam cabang seni lain.

    Kerana itu, Johan atau nama sebenarnya Johan Ariff As’ari yang mula dikenali menerusi watak Botak dalam drama bersiri Juvana ini, sanggup bahkan tidak kisah untuk menolak semua tawaran kerja lain sejak sebulan lepas demi memberi sepenuh tumpuan kepada sesi latihan harian teater berkenaan.

    “Saya rindu nak melakukan pementasan teater. Kali terakhir saya beraksi di pentas teater berskala besar ialah menerusi Bahayanya Wanita di Panggung Sari, Istana Budaya pada 2014. Saya anggap menyanyi sebagai satu cabaran.

    Johan As’ari dalam babak pementasan Teater Muzikal Uda dan Dara pada pratonton media teater tersebut pada 20 November. – Bernama

    “Saya tak nafikan, saya minum berbotol-botol air untuk hilangkan rasa gemuruh, maklumlah sekian lama tak melakukan pementasan ditambah pula kena menyanyi. Insya-Allah, saya akan cuba perbaikinya selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas pratonton media teater tersebut, baru-baru ini.

    Merakamkan penghargaan kepada seluruh tenaga pengajar dan barisan pelakon lain yang banyak membantu dan membimbingnya sepanjang latihan, Johan berkata mereka bukan sahaja mengajarnya dari sudut vokal tetapi juga teknik menari, sembah silat dan posisi sewajarnya ketika di atas pentas.

    Dalam pada itu, Johan yang sebelum ini pernah menyatakan tidak mahu melakonkan babak bersentuhan khususnya selepas pulang dari umrah pada 2013, menjelaskan adegan itu dalam pementasan kali ini hanyalah gambaran fantasi dan dilakukan secara berhemah mengikut tuntutan skrip.

    “(Babak) itu adalah fantasi dan tidaklah berlebihan sekadar untuk menyampaikan apa yang perlu disampaikan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda