Penyanyi Nabila Razali sekali lagi berjaya mencuri hati pendengar menerusi lagu terbaharu berjudul Tangis ciptaan komposer terkenal Naim Daniel.
Kata Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 32, lagu nyanyiannya itu mampu membangkitkan emosi sekali gus menjadikan ia sebagai lagu ‘wajib’ dengar peminat.
“Lagu ini memiliki kekuatan untuk menyentuh hati setiap pendengar yang mendengarkannya. Lagu ini mampu membangkitkan pelbagai emosi dan memberikan keselesaan kepada mereka yang mendengar,” katanya.
Dalam pada itu, lagu Tangis turut dipilih menjadi runut bunyi bagi drama siri Bawah Payung Awan yang dilakonkan oleh Nabila dan Ben Amir. Bait-bait lirik serta melodi lagu tersebut dilihat seiring dengan plot drama yang mampu meruntun jiwa penonton.
“Keserasian antara lagu Tangis dan plot drama yang disusun cermat secara keseluruhannya menjadikan setiap episod drama ini semakin bermaka sekali gus berjaya bermain dengan emosi penonton. Penonton dapat merasai setiap detik kehidupan watak-watak dalam siri Bawah Payung Awan dengan lebih mendalam dan hanyut dengan jalan cerita yang dipaparkan,” ujarnya.
Tangis merupakan kerjasama di antara Nabila Razali Entertainment, Universal Music Malaysia dan Global Keynote. Lagu yang sudah dilancarkan sejak 15 Jun lalu itu berjaya mendapat lebih 100,000 penstriman di platform Spotify serta 100,000 tontonan di YouTube.
Lebih membanggakan, drama Bawah Payung Awan juga menjadi antara drama yang mendapat tontonan teratas di platform Viu. – Agensi