TUTONG, 16 September 2002 – Seorang pembantu rumah hampir lemas stelah kepala beliau diserkup dengan telekung, sementara mulutnya turut disumbat dengan telekung sambil digam dengan pita pelekat oleh sekumpulan pencuri yang melakukan pecah rumah.
Keadaan pembantu rumah warga Indonesia berusia 38 tahun itu, dengan mukanya lebam akibat kesukaran bernafas, hanya disedari oleh majikannya yang mempunyai seorang anak damit berumur tiga bulan kira-kira pukul enam pagi, tiga jam selepas beliau diikat penceroboh itu yang memecah masuk dengan memanjat tingkap bilik mandi banglo tersebut pada kira-kira jam 2:30 pagi.
Berikutan kejadian itu, pencuri berjaya melarikan wang tunai $800 dan Rp 460,000 milik pembantu rumah itu, jam tangan serta barang kemas milik majikannya yang disimpan di dalam bilik pembantu rumahnya di Kampung Keriam, Tutong.
Kejadian dan jumlah barang yang dicuri itu disahkan oleh pegawai bertugas di Balai Polis Tutong, yang menjelaskan mereka menerima panggilan kecemasan mengenai kecurian kira-kira pukul 6:15 pagi, lalu berkejar ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan.
Sumber rasmi polis bagaimanapun tidak memberi maklumat lanjut mengenai kejadian itu kerana masih dalam siasatan.
Ketika ditemui, pembantu rumah yang sudah lebih setahun berkhidmat dengan majikannya itu menceritakan kejadian itu berlaku kira-kira jam 2:30 pagi ketika beliau sedang rukuk menunaikan sembahyang tahajud.
Secara tiba-tiba, telekungnya diserkup dari belakanmg lalu menyelubungi kepala sambil mulutnya disumbat oleh penceroboh yang didakwanya lebih dari seorang, yang terus memberi amaran “jangan bergerak, kalau tidak kami bunuh” dalam loghat tempatan.
Beliau mendakwa penceroboh tersebut mengambil masa hampir setengah jam menggeledah biliknya yang turut menyimpan barang kemas serta jam yang dilarikan itu.
Hasil pemeriksaan awal pihak polis di rumah itu turut menjumpai dua utas tali nilon berwarna hijau dan merah, yang digunakan pencuri itu untuk mengikat kepala dan kaki pembantu malang itu, pita pelekat yang digamkan ke mulutnya serta sepasang selipar yang dipercayai milik pencuri ditinggalkan.