NEW YORK, 3 OGOS – Penutupan tandas awam, kemudahan rosak akibat vandalisme serta kawasan tanpa sebarang kemudahan tandas, penduduk New York dan pelancong sering berdepan kesukaran untuk melepaskan hajat ketika berada di luar.
Dalam usaha terbaharu menangani isu itu, bandar metropolitan tersebut telah beralih kepada sebuah syarikat berpangkalan di Portland yang mereka bentuk tandas awam modular yang dikatakan tahan lasak dan sesuai untuk persekitaran bandar.
Produk tersebut, yang dinamakan sebagai ‘Portland Loos’ itu merupakan hasil ciptaan Madden Fabrication dan kini telah meraih pengikut tersendiri berikutan reka bentuknya yang menyerupai kios serta lebih murah berbanding pembinaan bangunan tandas konvensional.
Setakat ini, pod tandas awam seperti itu telah dipasang di sekitar 250 lokasi di seluruh Amerika Syarikat (AS).
New York telah berjanji untuk membina sebanyak 49 tandas awam baharu menjelang tahun 2029 bagi menangani kekurangan kemudahan tersebut di lima wilayah utamanya dan ketika ini, dianggarkan hanya terdapat kira-kira 1,100 tandas awam untuk 8.4 juta penduduk bandar raya itu.
Bandar tersebut akan membelanjakan AS$150 juta untuk membina tandas baharu serta menaik taraf 36 lokasi sedia ada.
Di taman Joyce Kilmer di Bronx, kira-kira dua blok dari stadium besbol Yankee, sebuah unit bernilai AS$200,000 telah dipasang, menarik perhatian orang ramai.
Jurucakap syarikat tersebut menggambarkan reka bentuk tandas itu sebagai ‘ringkas tetapi tahan lama’, dengan sinki diletakkan di luar bagi memastikan aliran pengguna lebih lancar dan mengelakkan kesan ‘seperti di hotel’. – AFP


