Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    NYC uji konfeti Tahun Baharu

    NEW YORK, 31 DIS – Pengunjung ke Times Square berpeluang menyaksikan pratonton kecil pesta Malam Tahun Baharu yang terkenal di New York City pada Jumaat lalu, ketika penganjur acara itu melambung beberapa kertas berwarna ke langit dalam acara promosi untuk menguji konfeti mereka.

    Dengan ramai peminat dijangkakan membanjiri Times Square untuk menyaksikan perayaan tersebut, setiap butiran kecil pun tidak boleh terlepas, kata Jeff Straus, Presiden Countdown Entertainment. Ini termasuklah kepingan kertas berukuran 5 x 5 sentimeter yang akan jatuh berterbangan ke tanah pada tengah malam ini nanti.

    “Ini adalah keseluruhan proses,” kata Straus. “Kami perlu merasai konfeti itu. Kami perlu merapikannya. Kami perlu memastikan ia akan terapung,” tambahnya.

    Walaupun ujian itu mungkin lebih bersifat promosi berbanding praktikal, keluaran konfeti Tahun Baharu sebenar — yang telah menjadi sebahagian daripada acara itu sejak 1992 — kekal sebagai operasi intensif buruh. Dianggarkan 1,361 kilogram konfeti diangkut ke tengah bandar Manhattan setiap tahun, kemudian dibawa ke bumbung bangunan pejabat yang menghadap Times Square. Kira-kira seratus sukarelawan ‘jurutera’ kemudian dijangkakan menjatuhkan konfeti tersebut ke jalan di bawah untuk menyambut tahun baharu.

    Pada taklimat keselamatan lewat Jumaat lalu, Datuk Bandar New York City, Eric Adams berkata jabatan polis bandar itu bersedia untuk menyambut ramai penonton.

    “Ratusan ribu orang akan berada di sini beratur dan tidak kira berapa kerap kita melihatnya, awda tidak akan pernah bosan, keterujaan itu tetap berulang,” katanya.

    Di sebalik konfeti, pelbagai persiapan lain sedang dijalankan untuk sambutan itu, yang bermula dari jam 6 petang hari ini sehingga selepas tengah malam.

    Di belakang paparan cahaya ‘2024’ yang tiba minggu ini, bola kristal yang bergemerlapan itu dijadualkan untuk menjalani ujian sendiri kelmarin. – AP

    Penaja persembahan Planet Fitness Malam Tahun Baharu Times Square menguji ‘kelayakan udara’ konfeti, di New York. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda