Bintang Bollywood, Kajol sentiasa menjadi perhatian. Bukan saja di India tetapi perkembangannya juga turut diikuti oleh peminat global. Bagi yang ramai tak tahu, pelakon Kuch Kuch Hota Hai dan Kabhi Khushi Kabhie Gham itu dikurniakan dua cahaya mata bersama Ajay Devgn.
Yang paling menjadi perhatian adalah anak gadisnya, Nysa Devgn. Memang cantik dan tinggi lampai orangnya, jelita persis Kajol pada zaman kegemilangan. Baru-baru ini Kajol berkongsi gambar throwback bersama Nysa di Instagram.
Duo ibu dan anak perempuan itu dilihat seolah-olah kembar berpakaian serba putih ketika Kajol berkata bahawa dia merindui Nysa. Kajol ketika itu sedang bercuti di Rusia bersama anaknya Yug dan saudara-mara mereka. Tanpa disedari, Nysa makin meningkat remaja dan baru saja meraikan ulang tahunnya yang ke 18 tahun pada 20 April lalu.
Nysa terdahulu bersekolah di Mumbai Dhirubhai Ambani International School kini melanjutkan pelajaran di di United College of Southeast Asia di Singapura sejak awal 2018. Dia mengikut jejak Kajol dengan memilih untuk belajar di sekolah berasrama penuh. Apa yang pasti, kecantikan Nysa jelas kelihatan dan mungkin dia akan mengikut jejak langkah ibu bapanya untuk bergelar selebriti Bollywood.
Baru-baru ini si manis itu tidak ketinggalan tampil menari lagu-lagu soundtrack dari filem Kuch Kuch Hota hai yang dibintangi ibunya. Antaranya ialah Bole Chudiyan.

Biarpun dirinya bintang terkenal, Kajol jarang berkongsi tentang buah hatinya itu kepada umum. Apatah lagi perihal rumah tangga dan anak-anak. Walaupun begitu, akhir-akhir ini dia sering menampilkan Nysa dalam laman sosialnya. Kasihnya seorang ibu, Kajol menzahirkan kasih sayang menerusi ucapan hari lahir Nysa baru-baru ini.
Nota indah itu turut menyebut tentang genta rasa keibuannya saat melahirkan puteri sulung.
“Ibu sangat gementar apabila kamu dilahirkan. Ia adalah permulaan kepada peperiksaan terbesar dalam hidup ibu. Kemudian ketika kamu berumur 10 tahun, ibu menyedari bahawa ibu adalah seorang guru.
“Tapi pada kebanyakan masa ibu adalah seorang pelajar yang mempelajari cara baharu untuk melakukan sesuatu (dalam mendidik dan membesarkan).
“Dan sekarang kita sampai ke hari ini. Akhirnya ibu boleh katakan ibu lulus dengan cemerlang,” titip Kajol. – Agensi