WELLINGTON, 3 MAC – New Zealand (NZ) hari ini meminta Google dan Facebook (FB) membuat perjanjian dengan media negara Kiwi itu, sama seperti dicapai di Australia yang mewajibkan gergasi teknologi membayar bagi penggunaan berita.
Menteri Penyiaran, Kris Faafoi, berkata beliau mempertimbangkan undang-undang untuk melaksanakan pengurusan sama bagi sektor media yang sedang bergelut di New Zealand, namun berharap perjanjian itu dapat dicapai melalui rundingan.
“Minggu lalu, saya bertemu dengan Google dan FB.
“Saya yakin perbincangan komersial antara media tradisional dan platform digital akan bermula di New Zealand dan saya menggalakkannya,” katanya kepada jawatankuasa Parlimen.
Australia minggu lalu, meluluskan perundangan mewajibkan BigTech membayar berita dihasilkan syarikat media tempatan, dengan syarikat itu sudah sekian lama mengadu syarikat gergasi mengaut pendapatan iklan mereka, selain turut menggunakan kandungan berita.
FB dan Google berjaya dalam menentukan beberapa peruntukan undang-undang baharu itu dikurangkan, bermakna perjanjian itu kemungkinan besar akan dicapai melalui rundingan, berbanding dikuatkuasakan pengawal selia.
Faafoi berkata bahawa kemajuan rundingan di New Zealand akan menentukan bagaimana kerajaan merangka peraturannya mengenai isu berkenaan.
“Sebagai Menteri, saya komited menyokong sektor ini dan membawa perubahan diperlukan untuk menjadikannya lebih kukuh dan lestari di masa depan,” katanya. – AFP
