WELLINGTON, 13 OKT – Pejuang alam sekitar menuduh kerajaan New Zealand (NZ) ‘mengabaikan iklim sepenuhnya’ selepas ia umumkan sasaran mengurangkan pelepasan metana iaitu gas rumah hijau yang menyumbang kepada pemanasan global.
Kerajaan NZ gariskan rancangannya kelmarin untuk kurangkan pelepasan metana antara 14 dan 24 peratus menjelang 2050, berbanding tahap 2017.
Sasaran sebelumnya adalah antara 24 dan 47 peratus.
Kumpulan petani memuji langkah itu, tetapi para saintis dan parti pembangkang mengkritiknya sebagai ‘lemah dan tidak bercita-cita tinggi’.
Pejabat NZ Greenpeace berkata peralihan dasar itu, “seperti mengabaikan iklim sepenuhnya”.
Amanda Larsson, seorang aktivis alam sekitar menuduh Perdana Menteri, Christopher Luxon, “memilih keuntungan korporat berbanding masa depan anak-anak kita”.
Menteri Perubahan Iklim Simon Watts pula berkata kerajaan NZ, “tetap komited terhadap komitmen perubahan iklim domestik dan antarabangsa kami, termasuk sifar bersih menjelang 2050. Pertanian akan terus memberi sumbangan penting dan adil untuk mencapai pengurangan ini.”
Kerajaan juga mengesahkan bahawa ia akan menjalankan semakan undang-undang sasaran metana biogenik pada 2040, dan tidak mengenakan cukai ke atas pelepasan metana pertanian kerana ancaman penutupan ladang.
Ia juga akan melabur NZ$400 juta dalam teknologi pemotongan metana.
Watts berkata lagi jumlah pelepasan pertanian boleh turun sehingga 14 peratus dalam dekad akan datang jika 30 peratus petani menerima pakai teknologi yang dijangka tersedia sebelum 2030.
Tetapi pakar mitigasi iklim Universiti Massey, Ralph Sims berkata ‘tiada jaminan’ bahawa penyelidikan saintifik akan menyediakan penyelesaian jangka pendek kepada gas metana biogenik.
Pelepasan metana biogenik termasuk yang dikeluarkan oleh lima juta lembu dan 23 juta biri-biri negara itu.
Sektor pertanian menyumbang hampir separuh daripada pelepasan gas rumah hijau New Zealand, menurut angka kerajaan. – AFP


