WELLINGTON, 29 JUN – Bermula Sabtu, New Zealand akan menjadi negara pertama yang melarang penggunaan beg plastik nipis yang digunakan oleh pelanggan pasar raya untuk membungkus buah-buahan dan sayur-sayuran mereka.
Larangan baharu itu juga akan dilanjutkan kepada straw dan sudu garpu plastik, ketika kerajaan memperluaskan kempen membasmi plastik sekali guna yang dimulakan pada 2019 apabila ia melarang penggunaan beg beli plastik yang lebih tebal yang digunakan pelanggan untuk membawa pulang barangan runcit mereka. Hari ini, kebanyakan pelanggan membawa beg beli-belah sendiri yang boleh digunakan semula.
Pegawai menganggarkan bahawa secara purata, setiap penduduk New Zealand membuang lebih daripada tiga perempat tan sisa ke tapak pelupusan sampah setiap tahun.
“New Zealand menghasilkan terlalu banyak sampah, terlalu banyak sisa plastik,” kata Menteri Alam Sekitar Bersekutu, Rachel Brooking.
Brooking berkata larangan beg plastik pada 2019 telah menghalang lebih satu bilion plastik daripada digunakan di New Zealand, dan larangan baharu beg nipis akan menambah pengurangan sebanyak 150 juta beg setahun.
Pegawai bagaimanapun melahirkan kebimbangan bahawa larangan terbaharu itu tidak akan memberi banyak manfaat kepada alam sekitar jika pelanggan hanya beralih kepada penggunaan beg kertas pakai buang untuk membungkus buah-buahan dan sayur-sayuran mereka.
“Jawapannya masih ya, ia masih berbaloi untuk dilakukan, tetapi kami benar-benar mahu mengurangkan penggunaan bungkusan sekali guna,” kata Brooking. “Jadi kami mahu orang ramai membawa beg mereka sendiri, dan pasar raya menjual beg yang boleh digunakan semula.”
Brooking berkata penekanan akan diberikan kepada mendidik masyarakat tetapi pegawai boleh mengenakan hukuman kepada perniagaan yang memilih untuk melanggar peraturan tersebut. – AP
