WELLINGTON, 13 DIS – New Zealand hari ini meluluskan pelan undang-undang unik untuk menghapuskan penggunaan tembakau dengan mengenakan larangan sepanjang hayat ke atas golongan muda yang membeli tembakau.
Undang-undang itu menyatakan bahawa tembakau tidak boleh dijual kepada mereka yang dilahirkan pada atau selepas 1 Januari 2009.
Ini bermakna umur minimum untuk membeli tembakau akan terus meningkat. Secara teori, sesiapa yang cuba membeli satu paket tembakau 50 tahun dari sekarang akan perlu menunjukkan kad pengenalan untuk mengesahkan mereka berumur sekurang-kurangnya 63 tahun.
Tetapi pihak berkuasa kesihatan berharap tabiat merokok akan hilang sebelum tempoh tersebut. Mereka juga mempunyai matlamat untuk menjadikan New Zealand bebas daripada tembakau menjelang 2025.
Undang-undang baharu itu juga mengurangkan jumlah peruncit yang membenarkan penjualan tembakau daripada kira-kira 6,000 kepada 600 orang dan mengurangkan jumlah nikotin dalam tembakau yang dihisap.
“Tiada alasan yang baik untuk membenarkan penjualan produk yang membunuh separuh daripada penggunanya,” kata Menteri Kesihatan Bersekutu, Dr Ayesha Verrall kepada penggubal undang-undang di Parlimen. “Dan saya ingin memberitahu awda bahawa kami akan menghapuskannya pada masa akan datang, ketika kami meluluskan undang-undang.”
Dia berkata sistem kesihatan akan dapat menjimatkan jutaan dolar kerana mereka tidak perlu merawat penyakit yang disebabkan oleh merokok, seperti kanser, serangan jantung, strok dan amputasi. Dia berkata undang-undang itu akan mencipta perubahan generasi dan menjadikan kesihatan yang lebih baik bagi golongan belia.
Namun, undang-undang itu tidak termasuk vape, yang menjadi semakin popular berbanding merokok di New Zealand.
Kadar merokok kekal tinggi di kalangan orang asli Maori, dengan kira-kira 20 peratus daripada mereka merokok. – AP


