Monday, July 14, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    NZ sokong usaha jadikan rantau ASEAN bebas nuklear

    KUALA LUMPUR, 13 JULAI – New Zealand menyatakan sokongan teguh terhadap usaha berterusan ASEAN untuk mengekalkan rantau ini sebagai kawasan bebas senjata nuklear, dengan menyifatkan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) sebagai tonggak penting keamanan dan keselamatan serantau.

    Menteri Luarnya, Winston Peters berkata perjanjian yang berkuat kuasa sejak 1997 itu merupakan ‘manifestasi nyata hasrat mendalam ASEAN’ untuk mencegah percambahan ancaman nuklear, terutamanya ketika kuasa-kuasa bersenjata nuklear terus memoden dan memperluaskan senjata masing-masing di tengah ketegangan global yang semakin memuncak.

    “Kami adalah Negara Pihak kepada Perjanjian Rarotonga, yang mewujudkan zon bebas senjata nuklear di Pasifik Selatan.

    “Kami juga menyokong zon-zon bebas senjata nuklear lain dan kepentingannya dalam menyumbang kepada keamanan serta keselamatan serantau,” katanya dalam kenyataan bertulis kepada Bernama semasa Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur.

    Menurut Peters, New Zealand melihat SEANWFZ sebagai sebahagian daripada rangkaian lebih luas zon bebas senjata nuklear di hemisfera selatan, termasuk di Amerika Latin, Afrika dan Pasifik Selatan.

    Beliau menegaskan kepentingan zon-zon itu dalam memperkukuh norma pelucutan senjata global, terutamanya ketika ketidaktentuan strategik semakin meruncing.

    “Adalah lebih penting kini, sebagai sesama anggota perjanjian zon bebas senjata nuklear, kita terus menyokong satu sama lain dalam mempertahankan prinsip-prinsip ini.

    “Kami juga perlu terus bekerjasama dalam menyokong Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT) danTriti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) yang disertai oleh kedua-dua negara,” katanya.

    Dalam isu kerjasama bencana serantau, Peters mengulangi komitmen Wellington untuk terus bekerjasama secara aktif dengan negara-negara ASEAN dalam memperkukuh sistem amaran awal, kesiapsiagaan bencana dan usaha pemulihan pasca krisis. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda